Thursday, 15 March 2012

ANYAMAN

PENGENALAN Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar. Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan rupa bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari kelompok masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau bagaimanapun pada sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah. Biasanya beberapa orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah atau beranda rumah pada waktu malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah pagi (jika kelapangan, kerana waktu pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian. Beberapa daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif) dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam) sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas. Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup. Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Zaman dahulu menganyam tikar, Sunyi menyepi desa terpinggir, Seni anyaman haruslah diajar, Jangan tinggal sebutan dibibir. Buluh muda mudah dilentur, Buat ampaian penyidai jala, Semangat juang belum luntur, Seni anyaman jangan dilupa.



DEFINISI ANYAMAN


Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini
biasanya mudah dikeringkan dan lembut.
 
 
ALAT DAN BAHAN
 
1.ROTAN
Antara teknik pengeringan rotan adalah dengan menyandarkan batang rotan pada palang jemur. Rotan merupakan bahan yang paling digemari kerana rotan tahan lama dan mudah dibentuk. Rotan, buluh dan lidi sering dijadikan sebagai bakul, lekar dan berbagai-bagai bentuk bakul atau alat-alat menangkap ikan
 
2.POHON MENGKUANG
Mengkuang tumbuh subur di kawasan berair tawar. Biasanya ia subur di lopak-lopak belukar atau kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Pohon mengkuang lebih tinggi daripada pohon pandan, tetapi mengkuang mempunyai dahan bercabang yang sedikit jika dibandingkan dengan pohon pandan. Daun mengkuang lebih kasar dan hasil anyamannya kelihatan lebih kasar dan keras.
3.BULUH


Antara buluh yang sering digunakan ialah buluh akan, buluh bentung, buluh minyak dan buluh gading. Buluh yang cukup tua dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Mengikut cara tradisional buluh akan direndam di dalam air selut (air tanah) bercampur asam selama satu minggu. Tetapi kini cara yang paling mudah, buluh direbus bersama soda bagi mengeluarkan kandungan gulanya. Namun begitu buluh yang direndam tetap dianggap lebih cantik dan menarik.
TOKOH ANYAMAN
Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.


LAIN-LAIN TOKOH

  •  Cik siah Jumaat dari Terengganu (mencipta kelarai sambas).
  • Hjh Asiah Bt Salleh (mencipta motif tapak harimau)
  • Hjh Semek (mencipta kelarai mak meh)
  • Esah bt Said (mencipta kelarai sisik kelah)
  • Dayang Aisah (mencipta kelarai bunga)


CONTOH-CONTOH GAMBAR ANYAMAN













VIDEO ANYAMAN KETUPAT

TENUNAN

PENGENALAN


Tenunan adalah seni tekstil yang terkenal di tanah melayu. Ianya mempunyai keunikan tersendiri kerana proses pembuatannya memakan masa. Selain itu motif yang digunakan juga mempunyai keunikan tersendiri dan ekslusif.


SEJARAH SONGKET
  1. Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
  2. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
  3. Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
  4. Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang.
  5. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.
  6. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
  7. Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
  8. Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragamhiasnya sera cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.

MOTIF
  1. Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain.
  2. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.
    Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan. Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.
  1. Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan.
  2. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric.
  3. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak.
  4. Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.
  5. Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).
TENUNAN BUNGA PENUH
corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.


SUSUNAN BUNGA TABUR
corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.




SUSUNAN BERCORAK
susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.






PROSES MENENUN SONGKET


ALAT DAN BAHAN

Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
TEKNIK DAN PROSES
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.

1. Melerai

Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing

Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.

3. Menggulung

Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.

4. Menyampuk

Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

5. Menghubung

Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.

6. Mengarak

Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.

7. Menyolek

Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.

8. Menenun

Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.





VIDEO TENUNAN








UKIRAN KAYU

PENGENALAN


Ukiran kayu atau di seni ukir merupakan seni pertukangan tangan yang menjadi satu tradisi dalam masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Ianya dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat melayu terutamanya pada ukiran-ukuran yang terdapat pada rumah-rumah tradisional. Seni ukir akan memperkenalkan teknik dan motif bunga ukir yang menjadi identiti ukiran Melayu tradisi. Menghasikan sebuah karya seni ukir memerlukan kemahiran daripada memilih kayu, memproses kayu, memilih dan melukis motif ukiran hinggalah mengukir silat dengan menggunakan pemahat dan pisau wali.


SEJARAH PERKEMBANGAN


Sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah awal ukiran kayu. Namun demikian catatan sejarah dari perjumpaan di zaman batu Neolitik di Asia Tenggara menunjukkan terdapatnya pengukir-pengukir handal telah wujud di zaman dahulu. Ini terbukti ukiran yang terdapat pada belanga, gelang, kendi dan pinggan mangkuk. Sejarah awal mengenai ukiran kayu di negara ini boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Buku yang dikarang oleh Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan Tun Sri Lanang, tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga tahun 1477. Istana berukir indah itu digelar oleh rakyat Melaka sebagai ‘Istana Hawa Nafsu’. Seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756 - 1780).

Di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Kedah adalah negeri yang mempunyai pengukir dari turun temurun. Dikata bahawa kebanyakan ukiran kayu adalah terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam, kerana pada suatu masa dahulu negeri ni di bawah pengaruh Siam. Ini adalah berdasarkan corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama banyak persamaan dengan seni ukir negeri Siam. Tidak menghairankan kalau dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi dari selatan negeri Thailand iaitu Patani.
BENTUK-BENTUK UKIRAN


a. Ukiran Tebuk TembusUkiran tebuk berasal dari sekeping papan atau beberapa keping papan yang ditebuk dengan menggunakan gerudi gergaji (gergaji menggerudi) supaya tembus bentuk-bentuk bunga atau corak. Terdapat dua jenis ukiran jenis ini, iaitu ukiran tebuk tidak silat dan ukiran tebuk silat.

Ukiran tebuk tidak silat banyak terdapat pada rumah-rumah lama iaitu bahagian selasar, lambur, dinding, pintu, perabot dan mimbar masjid. Bentuk bunga ukir ialah awan larat, siling, kaligrafi dan simetri. Bagi ukiran tebuk silat, bahagian yang menindih serta melengkung keluar ditimbulkan dan bahagian yang melengkung ke dalam serta yang tertindih ditenggelamkan. Sesungguhnya silat ialah istilah yang menunjukkan bahagian yang timbul dan tenggelam serta papan tebuk disobek. Bunga ukir yang terdapat pada bentuk ini ialah awan larat, silang dan simetri.
b. Ukiran Bunga Timbul Ukiran ini tidak tembus. Ia mengandungi bunga ukir yang disilatkan dan tidak silat. Terdapat pada perabot, mimbar masjid, barang hiasan yang diperbuat daripada kayu, ulu serta sampir senjata. Bunga ukirnya sama seperti ukiran tebuk.


c. Ukiran Arca Ukiran ini banyak terdapat pada ulu senjata seperti ulu keris, kepala tongkat, kukur kelapa, kotak nelayan dan sebagainya. Bunga ukirannya sama seperti ukiran timbul tetapi lebih halus dan kecil. d. Larik Melarik merupakan satu cara orang-orang Melayu mengukir kayu. Ukiran larik berbentuk bulat dengan susunan gerlang-gerlang dan genting-gentat yang menarik. Ukiran ini sering terdapat pada ulu senjata, perabot, tongkat, gasing, tiang-tiang rumah dan sebagainya.d. Ukiran Kayu Hanyut Ukiran ini di anggap masih baru. Ukiran idi diperkenalkan oleh Perbadanan Kraf tangan Malaysia. Ukiran ini hanya sebagai hiasan semata-mata. Ukiran kayu hanyut diukir pada bahagian-bahagian tertentu dan dibentuk menyelupai ikan, burung dan sebagainya. Kayu induknya di ambil dari kayu atau akar yang terdapat dalam sungai.

 
TOKOH-TOKOH UKIRAN


1.Encik Latiff bin Long

Latiff bin Long dilahirkan di Besut Terengganu, Beliau adalah seorang pengukir ukiran kayu yang mahir. Mewarisi bakat ayahnya yang berasal daripada keluarga yang mempunyai enam keturunan tukang kayu yang handal. Bapa Latiff juga terkenal dengan seorang pengukir. Ukirannya masih tersimpan di istana Raja Besut yang terdapat di muzium negeri Terengganu. Latiff telah menerima pengajaran ukiran kayu dari bapanya sejak berumur lima tahun. Beliau pernah memenangi pertandingan Kraftangan ukiran kayu semasa bersekolah. Pada tahun 1971 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Ukiran Kayu Jenis silat dalam Pameran Ukiran Kayu berlangsung di Balai Seni Lukis Negara. Kini Latiff Long adalah pengusaha Ukiran yang terkenal dan membuka bengkelnya di Pasir tumbuh Kelantan dan banyak menerima tempahan dari dalam dan luar negara.
2. Tuan Haji Wan Su bin Othman

Wan Su juga merupakan dari keturunan pengukir terkenal di daerah Besut Terengganu. Ukirannya sangat halus dan mempunyai unsur tradisi. Wan Su cukup mahir dengan motif-motif ukiran kayu. Sehingga kini beliau telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru bagi ukiran kayu. Pengiktirafan ini adalah diperingkat tertinggi oleh kraftangan Malaysia. Bengkel beliau terletak di Besut Terengganu dan banyak menerima tempahan dari dalam dan luar negara.

















VIDEO UKIRAN KAYU

TEKAT

PENGENALAN


Seni tekat dikenali juga dengan nama bersuji. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar (jenis baldu). Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat.


SEJARAH DAN PERKEMBANGAN


Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka.

Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada.

FUNGSI TEKAT


Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.




PERANAN INSTITUSI ISTANA


Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama pertumbuhan kraf seni tekat. Ramai pandai-pandai tukang tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana kelengkapan istana memerlukan tekat benang emas. Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan keagungan. Ramai pandai tukang pada masa itu membuat tekat untuk kegunaan istana. Secara langsung istana telah menggalakkan kraf tangan seni tekat. Setelah wujudnya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, perusahaan menekat dimajukan lagi dengan program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru, galakan pengeluaran dan menjual hasil ke luar negara. Tekat terus berkembang dengan hasil mutunya yang terjamin. Promosi yang dijalankan pada masa sekarang oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan industri pelancongan telah mendorong tukang sebu untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu dan berterusan. Secara langsung, kehalusan dan keunikan seni tekat dapat membantu memperkenalkan mutu seni tersebut kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.




TOKOH TEKAT


1. Ahdijah bt. Hasim

Ahdijah b. Hasim adalah seorang tokoh kraftangan tekat yang telah dipilih oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Adiguru kerana kepakaran dalam bidang tekat. Beliau mula belajar menekat daripada Ibunya bernama Anatishaah bt. Bilai Din juga seorang tokoh tekat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga banyak menerima tempahan tekat antaranya ialah daripada Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Baju penabalan Yang Di Pertuan Agong.



2. Hajah Azizah bt. Mohd Yusof

Hajah Azizah berasal dari Kg. Panang Changkat, Bukit Candan, Kuala Kangsar Perak. Kemahiran menekat adalah di warisi dari ibu dan warisan keluarga sejak turun temurun. Sekarang beliau menumpukan sepenuh masa dalam perusahaan menekat. Sebelum ini beliau adalah seorang jurulatih di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak. Beliau pernah mewakili negara ke Jepun, Arab saudi dan Brunei untuk membuat demontrasi menekat.





JENIS-JENIS TEKAT


1. Tekat Timbul Bunga Emas

Tekat ini menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

2. Tekat Gubah

Tekat gubah tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Pandai tukang hanya menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil benang untina. Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat ialah menghiasi tudung saji, tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, lemudi pintu, pakaian diraja dan sebagainya.
PROSES MENEKAT

* Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.


* Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 sentimeter dan 0.25 sentimeter. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.



* Seterusnya, kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada reka bentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu, baldu akan menjadi tegang.
* Selepas itu, benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.

* Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.




CONTOH-CONTOH GAMBAR TEKAT









VIDEO TEKAT

BATIK

SEJARAH BATIK


  • Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional.
  • Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden.
  • Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi
  •  Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik.
  • Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik.
  • Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi.
  • Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

JENIS-JENIS BATIK

 BATIK LUKIS




Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih.
Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan.
Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.





BATIK SKRIN
Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya
kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di
atas skrin yang diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain
putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji.
Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik
yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.

BATIK PELANGI



Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih.
Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan
menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan
kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan.
Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.




BATIK BLOK


  • Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak.
  • Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam.
  • Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai.
  • Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.


ALAT DAN BAHAN


Canting- Mecanting batik
Kain putih - Melukis batik
Berus- Menyapu warna
Lilin- Bahan untuk mecanting batik.
Damar- Bahan untuk mecanting batik.
Sodium silikat-mematikan warna
Kuali- Merebus kain
Dye batik-mewarna batik




MOTIF BATIK


  • Motif geometri
  • Motif flora
  • Motif fauna
  • Motif isen


BAHAGIAN BATIK








CONTOH-CONTOH GAMBAR BATIK









video mewarna batik