PSV KBSR


MATLAMAT


Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


OBJEKTIF


Setelah mengikuti Kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid boleh:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan,
3. menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera,
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya,
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat,
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab,
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air,
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual, dan
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.


ORGANISASI KURIKULUM


Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
a. Pemerhatian secara aktif


Pemerhatian secara aktif
  • yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
  • Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni di masa akan datang.
Apresiasi seni visual secara mudah
  • Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pendidikan seni visual sekolah rendah.
Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
  •  Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.


    (aktiviti seni visual mampu meningkatkan kreativiti kanak-kanak)



ASAS SENI REKA

A. UNSUR SENI
1. GARISAN
  •  Garisan ialah satu deretan titik yang bersambung-sambung yang mempunyai jarak tertentu
  •  Garisan boleh diolah untuk mencipta rupa, jalinan, ton, corak, dan untuk menimbulkan bentuk, ruang, dan pergerakan.




2. RUPA
  • Rupa adalah hasil pertemuan titik hujung dengan titik mula
  • Rupa adalah kawasan rata yang dilingkari garisan luaR
  • Terdapat 2 jenis rupa iaitu:
a- Rupa geometri – bersudut seperti segi tiga, segi empat, pyramid, bulat dsb.
b- Rupa organic – rupa bebas yang tidak bersudut seperti rupa daun, buah, batu dsb.
  •  Rupa boleh diolah dalam bentuk:
a- Rupa positif – rupa objek yang terletak di sesuatu kawasan
b- Rupa negatif – ruang di sekeliling rupa sesuatu objek.
(RUPA POSITIF)



(RUPA NEGATIF)



(RUPA ORGANIK)



(RUPA GEOMETRI)


3. BENTUK
  •  Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan lebih daripada satu permukaan 
  • Terdapat 2 jenis bentuk iaitu:
a- Bentuk konkrit – bentuk objek sebenar yang bersifat 3 dimensi iaitu boleh disentuh, dilihat, dan dirasai. (bukan berbentuk gambar)
b- Bentuk ilusi – bentuk visual yang bersifat 2 dimensi yang digambarkan melalui lukisan atau catan.

(BENTUK KONKRIT- YANG BOLEH DISENTUH)
(BENTUK ILUSI-2D YANG TERDAPAT PADA CATAN)
4. JALINAN
  • Jalinan ialah kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu benda 
  •  Terdapat 2 jenis jalinan iaitu:
a- Jalinan sentuh – jalinan yang dapat dirasai dengan sentuhan/tangan seperti kolaj, arca, dan catan teknik impasto
b- Jalinan tampak – jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai dengan tangan seperti corak batik, jalur buah tembikai dan gambar foto.
(JALINAN SENTUH)

(JALINAN TAMPAK)

5. RUANG
  • Ruang ialah kawasan kosong di sekeliling objek, jarak antara dua objek, atau rongga dalam sesuatu objek.
  • Terdapat 2 jenis ruang iaitu:
a- Ruang nyata – ruang sebenar yang terdapat pada bentuk-bentuk konkrit
b- Ruang tampak – ruang yang hanya dapat dilihat dalam seni tampak seperti lukisan, catan dan cetakan (bukan sebenar)
(RUANG TAMPAK)



(RUANG NYATA)

6. WARNA
  •  Terdapat 3 jenis warna iaitu:
a- Warna asas – iaitu merah, biru, dan kuning (tidak boleh dihasilkan dengan campuran warna lain)
b- Warna sekunder – iaitu campuran dua warna asas (Hijau ‘Biru + Kuning’, Jingga ‘Kuning + Merah’ dan Ungu ‘Merah + Biru’)
c- Warna tertier – iaitu campuran warna asas dengan warna sekunder
    (WARNA ASAS MERAH, BIRU DAN KUNING)
  •  Terdapat 3 gubahan warna iaitu:
a- Warna harmoni- warna bersebelahan dalam roda warna (warna sekeluarga, selesa dan seimbang)
b- Warna penggenap – warna yang bertentangan dalam roda warna (menimbulkan kesan segar, kaya, kontra, getaran dan pergerakan)
c- Warna sewarna – hanya satu warna yang mempunyai pelbagai ton (daripada terang kepada gelap)
  •  Terdapat 2 suhu warna iaitu:
a- Warna panas – warna antara warna merah ungu hingga kuning hijau pada roda warna (menimbulkan kesan bertenaga, garang, harapan, perang, meriah dsb)
b- Warna sejuk – warna antara hijau hingga ungu pada roda warna (menimbulkan kesan sejuk, sedih, damai dan tenang)

B) PRINSIP REKAAN

Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual
1. HARMONI
  •  Dalam istilah bahasa harmoni membawa maksud aman dan damai
  •  Dalam istilah seni harmoni merupakan hasil ulangan dan rentak unsur seni yang sesuai dan seimbang
  •  Harmoni wujud dalam penggunaan garisan dan warna
  •  Harmoni tidak akan wujud jika ada unsur-unsur yang bercanggah

(HARMONI DARI SEGI UNSUR YANG SAMA DAN SUSUNAN)





2. KONTRA
  •  Kontra wujud jika ada unsur-unsur seni yang bertentangan atau bercanggah dalam sesuatu gubahan
  •  Fungsi kontra ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, mengelakkan kebosanan dan kesan pergerakan
  • Kontra dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni, teknik dan bahan yang berlainan

(KONTRA DARI SEGI WARNA DAN OLAHAN UNSUR TEKS)


3. PENEGASAN

  •  Penegasan wujud apabila terdapat sesuatu unsur yang menonjol, kontra atau ganjil dalam sesuatu gubahan
  •  Fungsi penegasan ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, dan mengelakkan kebosanan
  •  Penegasan dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni yang kontra atau asingkan objek yang hendak ditegaskan

(KONTRA DARI SEGI WARNA)

4. IMBANGAN
  •  Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan
  • Terdapat 2 jenis imbangan iaitu:
a- Imbangan simetri – unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut)
b- Imbangan tidak simetri – unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai ciri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan
( IMBANGAN TIDAK SIMETRI )


( IMBANGAN SIMETRI )
5. IRAMA DAN PERGERAKAN
  •  Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dsb
  •  Fungsi irama dan pergerakan ialah untuk memberi kesan lebih hidup dan realistiK terhadap sesuatu gubahan
  •  Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dsb

( AIR MENUJUKKAN IRAMA DAN PERGERAKAN )
6. KEPELBAGAIAN
  • Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan
  • Kepelbagaian dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan
  • Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan

( PELBAGAI UNSUR MENIMBULKAN KESAN YANG MENARIK)
7. KESATUAN
  • Kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan
  • Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa

( KESERAGAM UNSUR-UNSUR MEMBAWA KESATUAN)