PSV KBSR

Wednesday, 14 March 2012

ALAT PERMAINAN

PENGENALAN
Permainan tradisional berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Perkara utama yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini.
Di antara permainan itu termasuklah:
  • Congkak
  • Wau
  • Batu seremban
  • Sepak raga
  • Gasing
CONGKAK
Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Lazimnya ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli.

LATAR BELAKANG CONGKAK

Congkak yang dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000SM hingga 7000 SM di masa kini Jordan.
Dari Timur Tengah, permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab.
Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu. Nama "congkak" dipercayai berasal dari perkataan Bahasa Melayu "congak" yang bermaksud pengiraan mental. Selain orang Melayu, keturunan peranakan India dan Baba Melaka turut meminati permainan Congkak.
Kanak-kanak di Kepulauan Caribbean juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia, congkak dikenali dengan nama congklak, di Filipina, sungka.
Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah.



CONTOH GAMBAR CONGKAK





WAU
  • Permainan wau ini juga dikenali dengan layang-layang.Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
CARA PERMAINAN WAU
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.


JENIS-JENIS WAU
  • Wau bulan
  • Wau jala budi
  • Wau kucing
  • Wau kenyalang
  • Wau barat
  • Wau daun
  • Wau burung





BAHAGIAN BADAN WAU







PROSES PENGHASILAN WAU

1. Memilih buluh
2.
Meraut buluh
3.
Membuat rangka
4.
Menampal rangka
5.
Membuat corak
6.
Menampal corak
7.
Memasang teraju

BATU SEREMBAN

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Menentukan Giliran
Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.
Cara Bermain
Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.
Buah Satu
Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Buah Dua
Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.
Buah Tiga
Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.

Buah Empat
Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
Buah Lima
Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.
Buah Enam
Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.
Buah Tujuh
Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.
Menimbang
Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.
Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.
Mati Permainan
Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.












SEPAK RAGA


Sepak raga merupakan sejenis permainan yang menggunakan bola rotan. Ia telah wujud sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15 M. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah.
Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, menggunakan gelanggang seperti dalam permainan badminton. Sepak raga juga telah digantikan dengan bola lain sekiranya ketiadaan bola takraw, dikenali sebagai menimang bola dalam.













GASING


Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Gasing dibuat daripada kayu berbaru,kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.
Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.


CARA BERMAIN GASING


Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.

Melilit tali

Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

Melilit gasing

Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.

Memusing gasing

Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.
Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.

 Memangkah gasing

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

Pangkah totok

Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.

 Pangkah hentak

Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

 Pangkah layang

Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.

Pangkah tebang

Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.

Mengangkat gasing

Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.












Video permainan gasing














No comments:

Post a Comment